Kilang proses kelapa, mi jijik, meloyakan

Harian Metro 

Khamis, 17 September 2020

Tasek Gelugor: Meloyakan apabila serbuan yang dijalankan ke atas sebuah kilang memproses kelapa di Kampung Selamat di sini, hari ini.

Serbuan mendapati seorang pekerja kilang terbabit memijak kelapa yang dikisar dan kemudian menjemurnya hingga didatangi anjing.

Selain itu, pemeriksaan di kilang memproses mi pula mendapati pekerjanya tidak memakai peralatan perlindungan diri (PPE) dan membiarkan produk yang mahu dijual bersepah di lantai dan dihurung lalat.

Keadaan itu dikesan dalam Op Tegar yang dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) bersama Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Dalam operasi itu, dua kilang memproses produk makanan berkenaan diarah tutup selama 14 hari kerana tidak mematuhi tahap kebersihan ditetapkan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) JKNPP Mohd Wazir Khalid berkata, pemeriksaan itu dilakukan selepas pasukannya mengadakan intipan sejak dua minggu lalu ke atas dua kilang yang beroperasi tanpa lesen itu.

"Hasil pemeriksaan di kilang pertama iaitu kilang memproses mi mendapati ia bukan sahaja terletak berhampiran kandang babi.

"Pemiliknya juga didapati tidak mengendahkan kebersihan apabila membiarkan produknya yang berselerak dan bertaburan di lantai dalam keadaan kotor dan dipenuhi lalat hingga ia boleh menyebabkan berlakunya pencemaran makanan.

"Selain itu, siasatan lanjut kemudian mengesahkan bahawa kilang itu pernah diperiksa pada 2012 dan sehingga kini pemiliknya masih berdegil dan tidak memiliki lesen walaupun sudah beroperasi untuk tempoh yang agak lama," katanya selepas operasi itu.

Mohd Wazir berkata, kilang memproses kelapa juga sudah lama beroperasi tanpa lesen dengan menggaji pekerja asing yang tidak memiliki suntikan vaksin anti-tifoid.

"Ketika tiba untuk pemeriksaan didapati seorang pekerja sedang memijak isi kelapa yang sudah diproses untuk dijadikan kerisik.

"Pemeriksaan sekitar kilang itu mendapati keadaannya sangat kotor dan berbau bahkan kedudukan tandas pekerja pula bersebelahan dengan longgokan kelapa yang sudah dikupas selain menggunakan sumber air yang sama iaitu untuk tandas dan membersihkan isi kelapa.

"Isi kelapa pula dikatakan dihantar ke pasar berdekatan di seluruh negeri sebelum diproses menjadi santan atau kerisik," katanya.

Mohd Wazir berkata, pihaknya menyerahkan kepada bahagian pelesenan untuk mengambil tindakan ke atas pemilik kilang yang masih gagal memohon lesen.

Dalam perkembangan lain, sebuah kedai runcit turut diperiksa dan diarah tutup berikutan tidak mematuhi syarat kebersihan.

Secara keseluruhannya, JKNPP mengeluarkan sebanyak 16 kompaun berjumlah sehingga RM20,000 dikeluarkan terhadap dua kilang memproses makanan itu serta sebuah kedai runcit.

MBSP pula mengeluarkan dua notis bersama tiga kompaun bernilai RM500 terhadap pemilik premis berkenaan.

#foodsafetyfirst 


https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/09/621544/kilang-proses-kelapa-mi-jijik-meloyakan

Comments